PROFIL PENDIDIKAN BERTERUSAN UNIVERSITI MALAYA

Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya ditubuhkan pada 1 April 1998 sebagai memenuhi komitmen Universiti Malaya untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara industri yang maju menjelang tahun 2020. Masyarakat perlu digalakkan supaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar menjadi lebih kreatif dan inovatif serta berdaya saing dalam menghadapi perubahan global. Justeru itu, penubuhan UMCCed yang berteraskan pendidikan sepanjang hayat merupakan satu wadah di mana Universiti Malaya boleh berfungsi sebagai penghubung kepada masyarakat dengan menyediakan pelbagai peluang latihan dan kemahiran kepada mereka tanpa mengira sempadan umur. Matlamatnya adalah untuk melahirkan sumber manusia yang berpengetahuan dan terlatih.

Program-program yang ditawarkan UMCCed merangkumi perkhidmatan perundingan pendidikan berterusan, latihan dalaman (in-house), seminar serta kursus–kursus pada peringkat sijil dan diploma eksekutif. Program–program ini disusun mengikut keperluan organisasi korporat dan individu-individu yang ingin meningkatkan kemahiran profesional mereka tanpa mengikuti pengajian secara sepenuh masa.

Kedudukan strategik UMCCed di Kampus Kota Universiti Malaya memberikan kemudahan akses kepada orang ramai melalui jaringan jalan raya utama dan juga pengangkutan awam. Di samping itu, kampus ini juga menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif dengan persekitaran hijau hutan hujan tropika di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

UMCCed sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada semua golongan pelanggan. Sesungguhnya, peranan serta sumbangan UMCCed sebagai pusat pembelajaran dan latihan yang dinamik akan sentiasa dipertingkatkan bagi menghasilkan warganegara yang berilmu sesuai dengan keperluan pembangunan Negara.

VISI :
Menjadi pusat kecemerlangan program pendidikan berterusan yang terkenal di dalam negara.

MISI :
Menyediakan peluang latihan dan pendidikan untuk golongan bekerja bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka ke arah pembangunan modal insan dan negara.

OBJEKTIF :
Menyumbang terhadap pembangunan dan kemajuan modal insan dalam sektor swasta di Malaysia melalui pembelajaran sepanjang hayat.

KEMPEN PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

Ilmu pengetahuan merupakan nadi kehidupan yang membolehkan seseorang individu bersaing serta memperluaskan peluang untuk maju dalam bidang yang diceburi khususnya dalam keadaan ekonomi negara dan dunia yang sentiasa berubah.

Ilmu pengetahuan yang diperoleh dan dikuasai secara berterusan adalah amat penting bagi memastikan seseorang individu sentiasa bersedia untuk menangani perubahan-perubahan sama ada dari segi perkembangan teknologi, kemahiran, kaedah kerja, polisi, prosedur dan sebagainya serta sentiasa bersedia untuk bersaing dengan individu-individu lain yang sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan mereka dari semasa ke semasa.

Selain itu, golongan yang telah lama bekerja juga perlu sentiasa peka dengan perkembangan penguasaan ilmu pengetahuan terutama di kalangan generasi muda yang kebanyakannya mempunyai kelayakan minimum di peringkat diploma mahupun ijazah sarjana muda yang pada bila-bila masa bersaing serta boleh mengambil alih tugas serta jawatan di dalam pasaran kerja. Berbekalkan pengalaman bekerja sahaja mungkin tidak lagi memadai bagi mempertahankan serta membangunkan kerjaya.

Atas keyakinan bahawa ilmu pengetahuan merupakan asas kepada kejayaan individu dan masyarakat, UMCCed telah mengambil inisiatif mengadakan Kempen Pendidikan Sepanjang Hayat bagi mendekatkan diri dengan masyarakat umum khususnya golongan dewasa bagi tujuan mengalakkan lebih ramai golongan ini berterusan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi mencapai kejayaan terutama dalam kerjaya.

Antara aktiviti kempen yang telah dijalankan adalah Pameran Pendidikan Sepanjang Hayat yang telah diadakan dengan jayanya di Hentian Rehat & Rawat (R&R Seremban arah selatan) pada 15 Ogos 2009 yang lalu.

Kempen yang dijayakan dengan kerjasama pihak PLUS ini telah disertai oleh kakitangan UMCCed dari Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Perhubungan Korporat (BPPPK) serta Bahagian Latihan Antarabangsa dan Pengurusan Acara (i-Tem) seramai tujuh orang. Antara aktiviti yang telah dijalankan pada hari tersebut adalah sesi penerangan berhubung maklumat program latihan anjuran UMCCed kepada para pengunjung, edaran brosur serta prospektus program, khidmat nasihat berhubung pemilihan program di samping pemberian baucer kepada individu-individu yang berminat untuk mengikuti program Diploma Eksekutif dan Profesional.

Memandangkan sambutan baik dari para pengunjung di R&R Seremban ini, pihak UMCCed bercadang untuk meneruskan pameran ini sebagai siri jelajah yang akan diadakan selepas ini di Hentian R&R Tapah arah Utara pada bulan November 2009.